Back

Pemenang Terhebat Kembali - Usain Bolt, Rafael Nadal, Serena Williams Dan Tiger Woods Dicalonkan Unt

noms_press_release_web_pic
Anugerah Dunia Sukan Laureus 2014
  • Namun Vettel, Ronaldo, Missy dan LeBron berharap membuat kejutan
  • Rafael Nadal dan Yelena Isinbayeva dicalonkan dalam dua kategori
  • Calon Kurang Upaya menghimpun 32 pingat emas di antara mereka
  • ‘Saya tidak pernah melihat persaingan sengit dalam sebegitu banyak kategori, ini bakal menjadi tahun yang cukup klasik – kata Pengerusi Laureus Edwin Moses
  • Majlis Anugerah Dunia Sukan Laureus ke-15 di Kuala Lumpur pada 26 Mac
  • Permohonan akreditasi media menerusi http://accreditation.laureus.com
 
EKSKLUSIF: KIT MEDIA BAGI PENCALONAN UNTUK ANUGERAH DUNIA SUKAN LAUREUS 2014
Tahun ini, anda akan diberi kit akhbar Pencalonan Anugerah Tahunan Dunia Sukan Laureus 2014 sebagai sumber maklumat, foto, pencapaian istimwa dan banyak lagi. Aplikasi muat turun eksklusif ini yang diperkenalkan Ahli Akademi Laureus Sir Seb Coe, termasuklah mengandungi ungkapan daripada pemenang lalu seperti Rafael Nadal dan Serena Williams yang menjelaskan makna di sebalik penghargaan ini kepada mereka, senarai penuh calon-calon Anugerah Tahunan Dunia Sukan Laureus 2014, maklumat mengenai Laureus Sport For Good Foundation dan bandaraya tuan rumah bagi majlis anugerah tahun ini, Kuala Lumpur, Malaysia.  
 
KUALA LUMPUR, 26 Februari 2014 – Himpunan bintang sukan ternama dari seluruh dunia dicalonkan untuk menerima Anugerah Dunia Sukan Tahunan Laureus 2014, selepas undian daripada media seluruh dunia.
 
Antara gergasi sukan yang dicalonkan adalah pemenang tiga kali anugerah Laureus, Usain Bolt dan  Serena Williams, bintang muda juara Formula Satu Sebastian Vettel, yang disenarai pendek buat kali kelima, dan Tiger Woods, yang memenangi anugerah itu ketika tahun pengenalan anugerah julung kali itu pada tahun 2000, yang tercalon sekali lagi selepas kembali ke kemuncak dunia golf. Pemain tenis Sepanyol, Rafael Nadal dan atlet lompat bergalah Russia, Yelena Isinbayeva, yang masing-masing memenangi anugerah ini sebanyak dua kali, turut dicalonkan dalam dua kategori.
 
Salah satu persoalan penting dalam pertandingan tahun ini ialah sama ada pemain bola sepak penuh karisma dari Real Madrid dan Portugal, Cristiano Ronaldo atau bintang bola keranjang Miami Heat  LeBron James, yang turut dicalonkan dalam kategori Pasukan Terbaik, mampu memenangi anugerah individu sebagai Atlet Lelaki Terbaik Tahunan Laureus. Dalam kategori Aksi Sukan Terbaik, bekas pemenang, atlet papan luncur Bob Burnquist and atlet luncur salji Shaun White, juga tersenarai.
 
Anugerah Dunia Sukan Laureus ke-15 yang memberi penghargaan terhadap pencapaian sukan sepanjang kalendar 2013, adalah majlis penghargaan perdana dalam kalendar sukan antarabangsa. Pemenangnya, yang akan dipilih oleh anggota  Akademi Dunia Sukan Laureus yang mengandungi sekumpulan unik 46 ahli sukan lelaki dan wanita terhebat dalam sejarah, akan diumumkan pada majlis gilang gemilang yang disiarkan ke seluruh dunia apabila berlangsung di Istana Budaya pada Rabu, 26 Mac.
 
Apabila nama pemenangnya diumumkan bulan depan, pelari pecut Jamaica Usain Bolt mungkin akan meraikan pencapaian menyamai rekod kemenangan empat kali Anugerah Atlet Lelaki Terbaik Tahunan Laureus, selepas beliau memenangi semua tiga acara lari pecut dalam Kejohanan Olahraga Dunia di Moscow pada Ogos. Bersaing dengannya ialah bintang muda pemandu Formula Satu dari Jerman, Sebastian Vettel, yang menjuarai gelaran juara Formula Satu Dunia buat kali keempat berturut-turut pada usia hanya 26 tahun, pemain bola keranjang Miami Heat LeBron James, yang terpilih sebagai Pemain Paling Bernilai NBA buat kali keempat dalam tempoh lima tahun, pemain tenis Sepanyol Rafael Nadal, yang menjuarai Grand Slam Terbuka Perancis dan Terbuka US, Cristiano Ronaldo, yang menjaringkan 69 gol untuk Real Madrid dan Portugal sepanjang 2013, dan pelari jarak pertengahan Britain, Mo Farah, yang menang berganda acara 5,000 dan 10,000 meter di Moscow.
 
Terdapat wajah-wajah lazim bagi pencalonan Atlet Wanita Terbaik Tahunan Dunia Sukan Laureus,dengan  Missy Franklin, Shelly-Ann Fraser-Pryce dan Serena Williams kesemuanya dicalonkan buat tahun kedua berturut-turut. Pada usia 18 tahun, perenang Missy Franklin memenangi rekod enam pingat emas di Kejohanan Renang Sedunia; pelari pecut Jamaica Shelly-Ann Fraser-Pryce menandingi kehebatan Usain Bolt dengan memenangi tiga pingat emas acara pecut di Moscow; dan Serena Williams yang menikmati satu lagi musim cemerlang dengan menjuarai Tenis Terbuka Perancis dan Terbuka US. Turut disenarai pendek ialah peluncur ski sensasi Slovenia, Tina Maze, yang menjuarai gelaran Keseluruhan Piala Dunia dan tiga disiplin luncur lain; Yelena Isinbayeva, yang memenangi pingat emas di Kejohanan Olahraga Sedunia di depan peminat tempatan; dan Nadine Angerer, Pemain Wanita Terbaik Tahunan FIFA yang juga kapten skuad bola sepak Jerman yang muncul juara Kejohanan Eropah.
 
Di dalam kategori Pasukan Terbaik Tahunan Laureus, Bayern Munich, juara Liga Juara UEFA,  Bundesliga dan Piala Jerman, dicalonkan bersama-sama skuad ragbi New Zealand All Blacks, pasukan ragbi kebangsaan yang pertama mencatat 100% rekod kemenangan dalam era profesional; pasukan Bolasepak Lelaki Brazil, yang muncul juara Piala Konfederasi; bintang tenis kembar Amerika, Bob & Mike Bryan, yang mempertahankan semua gelara beregu Grand Slam selain memenangi pingat emas Olimpik; Miami Heat, yang menjuarai gelaran NBA buat tahun kedua berturut-turut; dan pasukan Red Bull, juara buat kali keempat berturut-turut Kejuaraan Pengeluar Formula Satu.
 
Penunggang motosikal dari Sepanyol, Marc Márquez, juara paling muda dalam Kejuaraan MotoGP pada usia 20 tahun 266 hari, adalah calon popular bagi anugerah Pencapaian Sukan Terbaik Tahunan Laureus  dan turut mendapat sokongan ialah Pasukan Kriket Afghanistan, yang berlatih di dalam kem pelarian di Pakistan dan melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia buat kali pertama. Turut dicalonkan adalah pelumba basikal dari Colombia Nairo Quintana, pelumba muda pertama yang menjejak kaki ke podium  Tour de France sejak 1996; pemain golf Justin Rose dari England dan pemain Australia, Adam Scott, masing-masing menjulang kejuaraan pertama mereka dalam kejohanan Major; dan Raphael Holzdeppe, yang memenangi pingat emas acara lompat bergalah buat kali pertama untuk Jerman dalam Kejohanan Olahraga Dunia.
 
Yelena Isinbayeva dan Rafael Nadal juga turut dicalonkan bagi anugerah Kemunculan Semula Terbaik Tahunan Laureus.  Calon lain termasuklah pemain golf Tiger Woods, Pemain Terbaik Jelajah PGA US; Oracle Team USA, yang bangkit daripada ketinggalan 8-1 sebelum memenangi Kejohanan Kapal Layar Piala Amerika; pemain bola keranjang Perancis Tony Parker, yang dinamakan sebagai Pemain Paling Bernilai dalam Kejohanan Eropah selepas mengalami kecederaan mata yang serius; dan Ronaldinho, yang pada usia 33 tahun, mengetuai kelab kurang ternama Brazil Atlético Mineiro ketika menjuarai Copa Libertadores.
 
Persaingan paling sengit pastinya untuk merebut Anugerah Atlet Sukan Kurang Upaya Terbaik Tahunan Laureus, di mana calon-calonnya memenangi keseluruhan 32 pingat emas dalam kejohanan dunia sepanjang 2013. Pelumba berkerusi roda Amerika, Tatyana McFadden bukan saja memenangi enam pingat emas, malah turut memenangi Larian Marathon Bandaraya - Boston, Chicago, London dan New York. Juga dalam acara berkerusi roda, atlet Switzerland, Marcel Hug menang lima pingat emas dan satu perak. Tiga perenang juga dicalonkan bagi anugerah ini selepas persembahan cemerlang di Kejohanan Sedunia: perenang New Zealand, Sophie Pascoe, perenang Norway Sarah Louise Rung dan perenang Ukraine, Olga Sviderska. Turut disenarai pendek ialah peluncur ski Perancis, Marie Bochet, pemenang pertama yang memenangi semua lima disiplin dalam satu Kejohanan Alpine Sedunia.
 
Calon-calon bagi anugerah Aksi Sukan Terbaik Tahunan Laureus termasuklah bekas pemenang, Bob Burnquist, yang mencatat rekod pingat emas ke-25 acara papan luncur di kejohanan X-Games; peluncur salji Shaun White, yang menang pingat emas buat kali keenam berturut-turut acara SuperPipe di X Games. Mereka akan dicabar oleh bintang BMX, Jamie Bestwick, satu-satunya atlet dalam sejarah X-Games yang menang lapan pingat emas berturut-turut; juara luncur angin Australia, Mick Fanning, peluncur Amerika, John John Florence, yang mencatat markah sempurna 10 ketika melakukan Alley Oop: dan peluncur dari Brazil, Maya Gabeira, yang hampir lemas ketika cuba meluncur ombak setinggi 70 kaki di Portugal.
 
Pengerusi Akademi Dunia Sukan Laureus, Edwin Moses berkata: “Saya tidak pernah melihat persaingan sebegini sengit dalam pelbagai kategori sebelum ini. Ini bakal menjadi tahun yang cukup klasik. Ada keseimbangan yang menarik di antara beberapa nama besar yang mendominasi sukan sejak beberapa tahun lalu dan beberapa muka baru yang hebat seperti Missy Franklin dan Marc Marquez. Saya juga cukup berdebar melihat senarai nama bagi anugerah Atlet Kurang Upaya Laureus, di mana semua enam calon yang disenaraikan berhak untuk menang. Ini adalah kumpulan yang terbaik dari kalangan yang terbaik dan ia bakal menjadi malam yang cukup menarik di Kuala Lumpur apabila menunggu siapa di antara mereka yang akan menerima Anugerah Laureus.”
 
Senarai penuh calon bagi Anugerah Tahunan Dunia Sukan Laureus 2014 adalah:
 
 Atlet Lelaki Terbaik Tahunan Laureus
Usain Bolt (Jamaica) Olahraga – menang pingat emas 100m, 200m dan 4x100m Kejohanan Olahraga Sedunia
Mo Farah (UK) Olahraga – menang berganda 5,000m dan 10,000m di Kejohanan Olahraga Sedunia
LeBron James (US) Bolakeranjang  – bintang Miami Heat, dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP)  NBA untuk kali keempat dalam tempoh lima tahun
Rafael Nadal (Sepanyol) Tenis – juara Terbuka Perancis, Terbuka US dan lima kejohanan Masters ATP
Cristiano Ronaldo (Portugal) Bolasepak  - menjaringkan 69 gol untuk Real Madrid dan Portugal sepanjang 2013
Sebastian Vettel (Jerman) Sukan Permotoran – menjuarai gelaran pemandu Kejuaraan Formula Satu buat kali keempat berturut-turut
 
Atlet Sukan Wanita Terbaik Tahunan Laureus
Nadine Angerer (Jerman) Bolasepak – Pemain Wanita Terbaik Tahunan FIFA, Kapten pasukan Jerman
Missy Franklin (US) Renang – pada usia 18 tahun, menang rekod enam pingat emas di Kejohanan Dunia
Shelly-Ann Fraser-Pryce (Jamaica) Olahraga – menang emas tiga acara pecut di Kejohanan Dunia
Yelena Isinbayeva (Rusia) Olahraga – menang gelaran dunia lompat bergalah di depan penyokong sendiri di Russia
Tina Maze (Slovenia) Ski – menang keseluruhan Piala Dunia dan tiga disiplin lain, serta gelaran dunia Super G
Serena Williams (US) Tenis – menang Terbuka Perancis dan Terbuka US, serta lapan kejohanan lain sepanjang 2013
 
Pasukan Terbaik Tahunan Dunia Sukan Laureus
All Blacks (NZ) Ragbi – pertama kali sebuah pasukan kebangsaan mencapai rekod 100% kemenangan dalam era profesional
Bayern Munich (Jerman) Bolasepak – menang tiga kejuaraan Liga Juara-Juara, Bundesliga dan Piala Jerman
Pasukan Bolasepak Kebangsaan Brazil  – menang Piala Konfederasi, menewaskan juara bertahan Sepanyol dalam perlawanan akhir
Bob & Mike Bryan (US) Tenis – melengkapkan gelaran Grand Slam acara beregu – empat kejuaraan Grand Slam dan pingat emas Olimpik
Miami Heat (US) Bolakeranjang  – menjuarai gelaran NBA buat tahun kedua berturut-turut, menewaskan San Antonio Spurs dalam perlawanan akhir
Red Bull (Austria) Sukan Permotoran – menang gelaran Pengeluar buat kali keempat berturut-turut Kejuaraan Formula Satu
 
Pencapaian Terbaik Tahunan Dunia Sukan Laureus
Pasukan Kriket Afghanistan – berlatih kriket dalam kem pelarian, layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2013
Marc Márquez (Sepanyol) Motosikal – juara paling muda kejuaraan MotoGP pada usia 20 tahun 266 hari
Raphael Holzdeppe (Jerman) Olahraga – menang pingat emas lompat bergalah pertama untuk Jerman di Kejohanan Dunia
Nairo Quintana (Colombia) Berbasikal – pelumba rookie pertama menaiki podium Tour de France sejak 1996
Justin Rose (UK) Golf – menang kejuaraan Major pertama di Terbuka US pada usia 32 tahun
Adam Scott (Australia) Golf – juara Australia pertama dalam sejarah 77 tahun Masters US
 
Kemunculan Semula Terbaik Tahunan Laureus
Yelena Isinbayeva (Rusia) Olahraga – menang gelaran dunia acara lompat bergalah di depan penyokong sendiri di Russia
Rafael Nadal (Sepanyol) Tenis – juara Terbuka Perancis, Terbuka US dan lima kejohanan Masters ATP
Oracle Team USA – Perahu Layar – Ketinggalan 8-1 dalam saingan Piala Amerika, sebelum Oracle bangkit untuk mencatat kemenangan 9-8
Tony Parker (Perancis) Bolakeranjang – Menjuarai gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) Kejohanan Eropah selepas sembuh daripada kecederaan mata yang serius
Ronaldinho (Brazil) Bolasepak – pada usia 33 tahun, mengetuai pasukan kurang ternama Atlético Mineiro untuk menjuarai Copa Libertadores
Tiger Woods (US) Golf – Dipilih sebagai Pemain Terbaik Jelajah PGA US selepas lima kemenangan, merampas kedudukan ranking Nombor 1
 
Atlet Sukan Kurang Upaya Terbaik Tahunan Laureus
Marie Bochet (Perancis) Ski – pemenang dalam semua lima disiplin pada satu Kejohanan Alpine Sedunia
Marcel Hug (Switzerland) Lumba Berkerusi Roda – menang lima pingat emas dan satu perak di Kejohanan Dunia
Tatyana McFadden (US) Lumba Berkerusi Roda – menang empat marathon bandaraya dan enam pingat emas di Kejohanan Dunia
Sophie Pascoe (NZ) Renang – menang lima pingat emas daripada lima cubaan di Kejohanan Dunia
Sarah Louise Rung (Norway) Renang – menang empat pingat emas dalam lima perlumbaan di Kejohanan Dunia
Olga Sviderska (Ukraine) Renang – menang emas lima acara individu dan dua berganti-ganti di Kejohanan Dunia
 
Aksi Terbaik Tahunan Dunia Sukan Laureus
Jamie Bestwick (UK) BMX – satu-satunya atlet dalam sejarah X Games yang menang lapan pingat emas  
Bob Burnquist (Brazil) Papan Luncur – mengatasi Dave Mirra untuk memenangi rekod 25 pingat emas X-Games
Mick Fanning (Australia) Luncur Air – memastikan gelaran juara kali ketiga Kejohanan Luncur Sedunia dalam perlumbaan terakhir tahunan
John John Florence (US) Luncur Air  – mencatat markah penuh 10 ketika melakukan aksi Alley Oop di Bali
Maya Gabeira (Brazil) Luncur Air  – hamper lemas ketika cuba meluncur ombak setinggi 70 kaki di Portugal
Shaun White (US) Luncur  Salji – menang pingat emas keenam berturut-turut SuperPipe di X Games Musim Sejuk
 
Untuk mendapat biografi penuh senarai calon boleh layari www.laureus.com
 
Calon-calon bagi Anugerah Tahunan Dunia Sukan Laureus 2014 akan diumumkan dari semasa ke semasa dalam beberapa siri majlis di Kuala Lumpur, London dan New York. Hasil kutipan Anugerah Sukan Dunia Laureus ini akan dimanfaatkan secara langsung oleh Laureus Sport for Good Foundation, yang menyokong lebih 140 projek komuniti berasaskan sukan di 34 negara dari seluruh dunia. Sejak penubuhannya, Laureus sudah mengumpul lebih  €60 juta bagi projek bertujuan memperbaiki tahap kehidupan lebih sejuta setengah golongan belia.
 
Maklumat mengenai tetamu yang akan menghadiri majlis Anugerah dan atur cara penuh majlis akan diumumkan dari semasa ke semasa.
 
Antara lain yang pernah diberikan penghormatan pada majlis penganugerahan lalu adalah Sebastian Coe, Novak Djokovic, Roger Federer, Alex Ferguson, Lewis Hamilton, Rafael Nadal, Pele, Michael Phelps, Steve Redgrave, Ronaldo, Michael Schumacher, Kelly Slater, Serena Williams dan Zinedine Zidane.
 
Antara tetamu yang menghadiri majlis penganugerahan itu termasuklah Raja Juan Carlos dari Sepanyol, Putera Albert dari Monaco, David dan Victoria Beckham, Sean Connery, Michael Douglas dan catherine Zeta-Jones, Morgan Freeman, Teri Hatcher, Eva Longoria, Gwyneth Paltrow dan Kevin Spacey.
 
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, YB Dato' Seri Mohamed Nazri berkata: “Kuala Lumpur amat berbesar hati diberi keistimewaan untuk menjadi tuan rumah majlis berprestij Anugerah Tahunan Dunia Sukan Laureus 2014 dan bandaraya ini tidak sabar untuk menganjurkan acara terkenal di peringkat antarabangsa ini serta mengalu-alukan kehadiran ramai legenda sukan ke Malaysia. Ini adalah negara yang cintakan sukan dan saya memberi jaminan layanan dan hospitaliti mesra menanti setiap tetamu kami. Berserta beberapa acara bertaraf antarabangsa seperti Piala Monsun dan Grand Prix Formula Satu, kami sangat yakin bahawa Kuala Lumpur, Malaysia adalah tuan rumah yang sempurna untuk acara sukan yang begitu signifikan di peringkat antarabangsa ini. Saya positif ini bakal menjadi acara yang akan dikenang oleh semua mereka yang terlibat.”
 
Hostname/IP Address:  laureus-ftp1.iweb-ftp.co.uk
Username: laureus-lwsa14
Password: awards
For queries regarding the VNR please contact [email protected]
 
LAUREUS LANCAR LAMAN BARU MIKRO BAGI ANUGERAH
Laman web terbaharu bagi Anugerah Dunia Sukan Laureus 2014 dilancarkan dan peminat sukan boleh mengakses laman web ini secara terus di www.laureus.com. Ia memaparkan pelbagai isi kandungan eksklusif: Senarai Calon, wawancara khas, video, foto dan maklumat tambahan serta maklumat dalaman dalam semua aspek Anugerah Dunia Sukan Laureus. Topik memberi tumpuan terhadap berita dan individu Laureus, termasuk lawatan Ahli Akademi dan Duta ke pelbagai projek untuk menunjukkan kerja-kerja yang dilakukan Yayasan serta aktiviti di belakang tabir.
 
Meraikan sambutan ke-15 tahun Laureus, pelawat juga boleh merasai pengalaman dan keseronokan tahun demi tahun selama sedekad setengah anugerah Laureus serta kerja-kerja amal Laureus Sport for Good Foundation.  Laman web mikro ini bertindak sebagai platform media untuk memuat turun semua maklumat berkaitan multimedia yang diperlukan wartawan. Ia juga menjadi hab pertama bagi media sosial untuk anugerah Dunia Sukan Laureus. Pelawat berpeluang untuk menyuarakan pandangan menerusi aplikasi Facebook, Twitter dan Instagram. Pasukan editorial kami akan memaparkan segala usaha untuk mendidik peminat sukan mengenai usaha Sport For Good Foundation serta menghiburkan mereka mengenai segala perkara berkaitan Anugerah Laureus.
 
Layari sekarang: www.laureus.com
 
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
 
Virginie Bernon
International Senior Media & PR Manager
Tel: +44 (0) 0207 514 2841    
Laman web: www.laureus.com
Ikuti kami menerusi Twitter @LaureusSport
NOTA UNTUK PENGARANG
Penaung pertama Laureus ialah Nelson Mandela.  Semasa Anugerah Dunia Sukan Laureus yang julung kali diadakan pada tahun 2000, beliau berkata: “Sukan mempunyai kuasa untuk mengubah dunia. Ia mempunyai kuasa untuk memberi inspirasi. Ia mempunyai kuasa untuk menyatukan rakyat yang tidak dapat dilakukan dengan cara lain. Sukan menjana harapan tika hanya kekecewaan yang melanda.” Ini telah menjadi falsafah Laureus; menjadi kuasa pendorong di sebalik tugasnya.
 
Laureus merupakan gerakan universal yang meraikan kuasa sukan untuk menyatukan orang bersama-sama sebagai satu pasukan untuk selama-lamanya.  Laureus terbentuk daripada tiga elemen teras - Akademi Dunia Sukan Laureus, Sukan Laureus untuk Yayasan Good, Anugerah Dunia Sukan Laureus - yang secara kolektif meraikan kecemerlangan sukan dan menggunakan sukan sebagai cara untuk menggalakkan perubahan sosial.
 
Ahli-ahli Akademi Dunia Sukan Laureus terdiri daripada: Giacomo Agostini, Marcus Allen, Franz Beckenbauer, Boris Becker, Ian Botham, Sergey Bubka, Bobby Charlton, Sebastian Coe, Nadia Comaneci, Yaping Deng, Marcel Desailly, Kapil Dev, Mick Doohan, David Douillet, Emerson Fittipaldi, Sean Fitzpatrick, Dawn Fraser, Cathy Freeman, Tanni Grey-Thompson, Marvelous Marvin Hagler, Mika Häkkinen, Tony Hawk, Mike Horn, Miguel Indurain, Michael Johnson, Kip Keino, Franz Klammer, Dan Marino, Edwin Moses (Pengerusi), Nawal El Moutawakel, Robby Naish, Ilie Nastase, Martina Navratilova, Alexey Nemov, Jack Nicklaus, Gary Player, Morné du Plessis, Hugo Porta, Steve Redgrave, Vivian Richards, Monica Seles, Mark Spitz, Daley Thompson, Alberto Tomba, Steve Waugh dan Katarina Witt.
 
Ahli-ahli Akademi Laureus menawarkan perkhidmatan mereka secara sukarela sebagai duta global sukan Laureus untuk Yayasan Good, yang ditubuhkan bagi menggalakkan sukan sebagai alat untuk perubahan sosial. Yayasan ini menangani cabaran sosial melalui program berkaitan sukan di seluruh dunia, iaitu inisiatif pembangunan komuniti . Sejak penubuhannya, Laureus telah mengumpul lebih €60 juta untuk projek-projek yang membantu meningkatkan tahap kehidupan lebih satu setengah juta golongan muda. Misi Yayasan Laureus adalah untuk menggunakan sukan sebagai cara memerangi beberapa cabaran sosial paling sukar di dunia yang dihadapi anak-anak muda hari ini, seperti jenayah juvana, kumpulan samseng, HIV/AIDS, diskriminasi, penyingkiran sosial, kesedaran periuk api dan masalah kesihatan seperti obesiti.
 
Akademi tersebut mendapat sokongan ahli Program Duta Laureus untuk melaksanakan tugasnya, satu kumpulan olahragawan dan olahragawati terpilih yang telah bersara atau masih aktif yang mencapai kehebatan melalui sukan, serta personaliti bukan sukan yang memberi  sumbangan besar kepada masyarakat sukan sepanjang kerjaya mereka. 
 
Anugerah Dunia Sukan Laureus merupakan anugerah sukan global yang terkemuka yang mengiktiraf atlet lelaki dan wanita terulung dalam semua acara sukan setiap tahun.  Pemenang dipilih oleh juri sukan terunggul - 46 orang ahli Akademi Dunia Sukan Laureus, para legenda sukan yang memberikan penghormatan kepada para atlet terhebat hari ini.  Anugerah ini disampaikan di Majlis Penganugerahan tahunan, dihadiri oleh tokoh-tokoh dunia sukan dan hiburan yang disiarkan ke 120 buah negara dan wilayah.  
 
Terdapat dua bahagian dalam proses pengundian untuk mencari pemenang Anugerah Dunia Sukan Laureus.  Pertama, satu Panel Pemilihan yang terdiri daripada editor, penulis dan penyiar sukan terkemuka di dunia dari lebih 120 buah negara mengundi untuk menyenarai pendek enam Pencalonan dalam pelbagai kategori, termasuk Atlet Lelaki Terbaik Tahunan Laureus, Atlet Wanita Terbaik Tahunan Laureus, Pasukan Terbaik Tahunan Laureus,  Pencapaian Terbaik Tahunan Laureus dan Kemunculan Semula Terbaik Tahunan Laureus.  Kemudian anggota panel Akademi Anugerah Dunia Sukan Laureus mengundi secara rahsia untuk memilih pemenang Anugerah daripada senarai pendek tersebut. Ahli-ahli Akademi Laureus juga mengundi untuk Tokoh Sukan Kurang Upaya Terbaik Laureus dan Aksi Sukan Terbaik Tahunan Laureus, yang Pencalonannya  dibuat oleh panel pakar. 
 
Hasil daripada Anugerah Dunia Sukan Laureus memberi manfaat secara langsung dan menyokong kerja-kerja Sukan Laureus untuk Yayasan Good yang menyokong lebih 140 projek komuniti sukan di seluruh dunia.  Anugerah Dunia Sukan Laureus 2014 akan diadakan di Kuala Lumpur pada 26 Mac.
Laureus ditubuhkan oleh penaung Richemont dan Daimler dan disokong oleh Rakan kongsi Global Mercedes-Benz dan IWC Schaffhausen.
 
Mercedes-Benz
Mercedes-Benz, pengeluar kereta tertua di dunia, boleh mengimbas kepada tradisi yang unik. Ia merupakan jenama automotif premium paling bernilai yang mewakili kualiti, keselamatan, keselesaan, reka bentuk dan mobiliti mapan. Mercedes-Benz menikmati reputasi yang sangat baik, terutama dalam bidang keselamatan. Kebanyakan perintis inovasi teknikal yang merupakan ciri-ciri standard automotif hari ini dapat dilihat pada awalnya dalam kereta Mercedes-Benz. Jurutera-jurutera Mercedes-Benz pada masa akan datang akan terus mencipta semula automobil secara konsisten – dengan semangat dan inovasi yang sama seperti Gottlieb Daimler dan Carl Benz pada tahun 1886. Selain itu, Mercedes-Benz secara aktif menyokong sukan profesional dan amatur sejak beberapa dekad dan menjadi rakan yang boleh dipercayai dalam bidang sukan bermotor, bola sepak, golf, ekuestrian dan tenis.  Mercedes-Benz adalah Rakan Kongsi Global Sukan Laureus untuk Yayasan Good. Sejak permulaan operasi Yayasan ini pada tahun 2000, Mercedes-Benz telah berkongsi dan menyokong matlamat-matlamat dan nilai-nilai program kebajikan di seluruh dunia yang meletakkan peranan utama kepada sukan dalam perjuangan terhadap isu-isu sosial - Laureus menjadi elemen penting dalam program tanggungjawab sosial korporat Mercedes-Benz.
 
IWC Schaffhausen
Dengan fokus yang jelas tertumpu pada teknologi dan pembangunan, pengeluar jam tangan Switzerland iaitu IWC Schaffhausen telah menghasilkan jam tangan yang abadi nilainya sejak 1868. Syarikat itu meraih reputasi antarabangsa berdasarkan semangat dan kesungguhannya untuk mengetengahkan penyelesaian inovatif dan kepintaran teknikal. Tergolong antara jenama terkemuka di dunia dalam segmen jam tangan mewah, IWC menghasilkan ciptaan agung yang paling indah dan halus dalam seni pembuatan jam, melalui gabungan kejuruteraan dan kepersisan dengan reka bentuk eksklusif. Sebagai rakan kongsi global sejak  2005 dan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporatnya, IWC merupakan salah satu daya penggerak di sebalik Yayasan Laureus Sport for Good. Sejak 2006, pengeluar jam tangan Switzerland ini telah melancarkan beberapa jam edisi terhad sebagai penghormatan dan sokongan terhadap Yayasan tersebut. Jam tangan ini dirancang untuk menjadi barangan koleksi pengumpul jam kerana setiap edisi menampilkan ukiran eksklusif di belakang jam berdasarkan lukisan seorang kanak-kanak yang terlibat dalam projek Laureus.
 
Malaysia
Malaysia adalah sebuah negara yang mencerminkan keunikan dari seluruh Asia gambaran sebuah negara ceria, campuran pelbagai kaum dan agama di mana Melayu, India, Cina serta pelbagai kumpulan etnik lain dapat hidup bersama dalam suasana aman dan harmoni. Kepelbagaian kaum dan budaya ini menjadikan Malaysia sebagai syurga makanan dan tempat kelahiran pelbagai perayaan berwarna-warni. Rakyat Malaysia begitu tenang, mesra dan peramah. Menjadi destinasi pelancongan ke-10 paling popular di dunia mengikut perangkaan UNWTO dan keempat dari segi destinasi membeli-belah di dunia oleh CNN, dan dengan 2014 menjadi Tahun Melawat Malaysia, negara ini pastinya adalah tuan rumah yang paling tepat untuk majlis Anugerah Dunia Sukan Laureus 2014.
 

Email Sign up

Email Sign-up

Sign up for all things Laureus

Get regular updates throughout the year